Suarastra.com – Di celah rimbun daun, tumbuhlah bunga tanjung yang elok rupanya. Mahkotanya kecil, berbentuk bintang, berwarna krem kekuningan, laksana cahaya bulan yang jatuh perlahan ke atas halaman. Pada hujung kelopaknya, acap terlihat semburat cokelat kemerahan. Tiada ia mengurangi keelokannya, malah menjadi tanda bahawa segala yang hidup mempunyai perjalanan, dari muda menuju tua, dari mekar menuju layu.
Namun, gerangan apakah yang membuat bunga kecil ini begitu dikenang? Tiada lain ialah harumnya.
Wangi bunga tanjung begitu lembut dan khas, menyusup ke udara tanpa suara. Dahulu kala, bunga ini dipakai oleh orang-orang tua sebagai pengharum tradisional. Ia menjadi sebahagian daripada kehidupan, dekat dengan rumah, halaman, dan kenangan masa lalu.
Kiranya bunga tanjung mengajarkan kepada kita suatu petuah yang halus,
“Yang indah tiada semestinya harus menampakkan diri.”
Bunga itu tidak berkata,
“Lihatlah aku.”
Ia hanya mekar, kemudian menyerahkan harumnya kepada angin.
Demikian pula budi manusia. Tidak perlu banyak disebut, tidak perlu tinggi dipuji. Jika hati baik dan perbuatan membawa manfaat, niscaya kebaikan itu akan sampai juga kepada orang lain, sebagaimana harum bunga sampai kepada siapa sahaja yang melintasi jalannya.
Begitulah alam menjadi kitab yang tiada bertulis. Dari sekuntum bunga pun dapat dipetik hikmah, bahawa hidup bukan semata-mata tentang rupa dan kemegahan, melainkan tentang budi yang tinggal setelah diri tiada lagi di sisi.
Adapun nasihat lalu, Jadilah seperti bunga tanjung, elok rupanya, lembut harumnya, dan diam-diam meninggalkan kenangan. Kerana yang baik tiada perlu banyak berkata, cukup budi menjadi tanda, dan kebaikan menjadi harum namanya.
Penulis : Avisapranatungga

