Suarastra.com – Di celah bumi yang sunyi, beraraklah semut sekecil zarah, membawa rezeki dengan tekun, menyusuri jalan tanpa keluh dan kesah. Tiada ia memiliki sayap untuk terbang tinggi, tiada pula suara untuk mengguncang dunia, namun langkahnya yang kecil menyimpan rahasia tentang kesungguhan dan kebersamaan.
Tatkala sebutir remah ditemukan, dipanggilnya segala saudara untuk bersama-sama mengangkat beban. Tiada yang bertanya siapa paling berjasa, tiada yang berebut puji dan nama. Masing-masing tahu akan bahagiannya, kerana hidup bukan semata-mata tentang siapa yang sampai dahulu, melainkan siapa yang sudi berjalan bersama.
Maka lihatlah semut dengan mata kalbu, nescaya tersingkaplah pelajaran yang tiada tertulis pada kitab, bahawa kebesaran bukan terletak pada tubuh, melainkan pada budi; bukan pada tingginya kedudukan, melainkan pada manfaat yang ditinggalkan.
Petuah lama berkata,
“Jangan engkau memandang kecil akan semut, kerana yang kecil pun tahu menghimpun kekuatan. Jangan engkau membesarkan diri kerana beroleh kelebihan, kerana setinggi-tinggi pohon pun bermula daripada benih yang tersembunyi. Berjalanlah dengan tekun, bekerjalah dengan tulus, dan hiduplah dengan rukun, kerana setitik usaha yang tiada putus, kelak menjadi bukit yang teguh.”
Penulis : Avisapranatungga

